Ahad, 10 Februari 2013

HATI-HATI!! TAKTIK SERANGAN GUNA TEKSI



Hasrat pasangan suami isteri pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina berakhir dengan tragedi apabila si suami maut manakala isterinya parah selepas ditikam sekumpulan lelaki di tepi pantai berhampiran perkuburan Islam di Jalan Sekayan, Kampung Pengalat Besar dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa Nani Mansi, 31, maut di tempat kejadian selepas ditikam bertubi-tubi dengan kesan kira-kira 10 tikaman.
Isterinya, Noraminah Bahari, 25, parah selepas menerima lebih tujuh tikaman di bahagian pinggang, namun sempat menyelamatkan diri dengan berlari sejauh kira-kira 1.5 kilometer sebelum diselamatkan penduduk kampung berhampiran dan menghubungi polis.
Noraminah kemudian dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil dan kedua-dua mangsa adalah warga Filipina.
Menurut sumber, sebelum kejadian kira-kira 8 malam, mangsa bersama isterinya menunggu teksi di Kompleks Sinsuran untuk ke perhentian bas di Terminal Wawasan Plaza bagi menaiki bas pulang ke kampung di Semporna untuk bercuti sempena Tahun Baru Cina.
“Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan di Kota Kinabalu menyewa sebuah bilik di Kompleks Sinsuran dan menaiki teksi untuk pulang ke kampung.
“Selepas menaiki sebuah teksi yang turut ditumpangi seorang lelaki, mereka meminta untuk dihantar ke perhentian Terminal Wawasan Plaza di sini,” katanya di sini, semalam.
Sumber berkata, ketika dalam perjalanan, mangsa curiga apabila pemandu teksi itu tidak berhenti di terminal, sebaliknya menuju ke arah Papar dan dalam masa yang sama sebuah kereta mengekori mereka.
“Selepas itu, berlaku pertengkaran dan sebaik tiba di lokasi kejadian, berlaku pergelutan sebelum pemandu dan tiga rakannya menikam mangsa menggunakan benda tajam. Semua suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Rakman berkata, sebaik menerima panggilan penduduk kampung, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota polis menemui seorang wanita dalam keadaan parah lalu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Isteri mangsa memaklumkan suaminya turut ditikam di kawasan semak dekat pantai di Kampung Pengalat Besar,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, semalam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tikaman di badan.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan rompakan dan motif sebenar kejadian dipercayai akibat dendam dan cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Beberapa barang berharga milik kedua-dua mangsa tidak hilang, namun hanya beg tangan mangsa tertinggal di dalam teksi dibawa lari oleh suspek berkenaan,” katanya.
George berkata, isteri mangsa yang parah kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan dalam keadaan stabil.
“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan, namun polis sedang giat memburu semua suspek yang terbabit.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Papar di talian 088-912222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.




1 ulasan:

Oyeke? dh baca entri? dh komen? belum? Jom Komen sini.. trimakasih sudi komen, siap follow lg.. baiknya kamu ni...